Tuesday, April 14, 2009

AIR TERJUN KINAMAWALI




Lokasi : Berhampiran Kg. Salimandut, Kg. Nolotan dan Kg. Batition, Kota Marudu, Sabah, Malaysia

Nama Kinamawali diambil sempena bentuk air terjun ini yang seakan-akan kawah kuali. Bentuk-bentuk tersebut boleh didapati di hampir semua kawasan air terjun. Ada yang kecil dan ada juga yang besar.

Pertama kali memijakkan kaki di air terjun ini ketika saya berusia 12 tahun semasa mengikuti rombongan pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Tumunda Salimandut. Perjalanannya agak memenatkan, meredah hutan belantara, meranduk sungai, berjalan di atas bongkah batuan yang besar dan licin. Kalau terjatuh kenalah bangun sendiri.

Mengikut kepercayaan orang-orang kampung pada masa itu, kawasan air terjun ini adalah kawasan yang keras. Jika berhasrat untuk ke air terjun ini kena kuatkan semangat. Ini Kerana, sesiapa yang datang ke tempat ini akan demam dan satu perkara yang sangat ketara hujan lebat akan turun. Saya sendiri mengalaminya pada masa itu.

Seiring peredaran masa, air terjun Kinamawali kini menjadi destinasi pilihan pengunjung luar terutamanya penduduk kampung berhampiran dan juga pelajar-pelajar sekolah serta guru-guru. Kawasan ini yang dulunya keras mula menunjukkan keserasian dengan setiap pengunjung yang datang silih berganti. Sudah tidak ada yang yang demam dan hujan turun sekadar rintik-rintik. Bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.

Kini Kinamawali menjanjikan keseronokan bermain dengan air yang jernih dan menggelongor di atas bongkah batu yang besar ke dalam kawah sungai. Apa yang perlu hanyalah mengenakan seluar dengan kain yang tebal nanti ada pula yang pulang dengan seluar yang berlubang. Jangan lupa membawa makanan dan minuman yang secukupnya. Nikmatnya umpama berkelah di tepi pantai.

Adios...